Saturday 21 March 2015

Pisang goreng dicampur dengan cebisan plastik?

Sumber:  http://awangkilat.blogspot.com/2015/03/pisang-goreng-dicampur-dengan-cebisan.html
Sumber asal: Utusan Borneo | Khamis | 19 Mac 2015 | 28 Jamadilawal 1436H | PPK 220/12/2012 (031414) | Muka utama | Oleh: Vivi Olviana Najurus 
 KOTA KINABALU: Kesedapan pisang goreng yang rangup dan garing pastinya membuatkan penggemar pisang goreng tidak bosan untuk menjamah kuih terbabit apatah lagi jika dimakan panas-panas sebaik digoreng.

 Namun, kerangupan serta kesedapan yang dinikmati tidak semuanya sempurnajika tidak dicampurkan dengan ramuan tambahan yang sesuai tetapi ada juga dalam kalangan penjual yang sanggup mencampurkan dengan bahan yang berbahaya.
 Bukan ingin menjatuhkan perniagaan penjual pisang goreng, namun inilah hakikatnya bagi sesetengah penjual yang tidak bertanggungjawab dalam memperolehi pendapatan demi sesuap nasi serta mengulangi perbuatan yang pernah berlaku sebelum ini.

 Jika berkunjung di Tanjung Aru, ada satu kawasan yang menjual pisang goreng dengan laris dan tidak asing lagi bagi warga Bandaraya Kota Kinabalu.

 Kesedapan pisang goreng di sana membuatkan pelanggan teringinmembelinya buat kali kedua dan seterusnya, namun persoalannya apakah ramuan yang dicampurkan bersama pisang goreng terbabit.

 Salah seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Jen, 27, berkata kuih pisang berkenaan sangat enak dan ia membuatkan beliau selalu menbelinya jika melalui kawasan berkenaan.

 "Kesedapan yang saya nikmati selama ini tidak lagi bermakna apabila mendapati ada cebisan plastik bersama kuih pisang itu.

 "Pada mulanya saya menyangka ia hanya sebiji tetapi setelah meneliti kuih lain di dalam bugkusan, rupanya hampir kesemua kuih ada cebisan putih yang keras dan jernih pada permukaan kuih pisang berkenaan," katanya ketika ditemui kelmarin.

 Beliau berkata, keadaaan tepung kuih pisang yang dibeli tetap keras walaupun sudah sejuk setelah disimpan selama beberapa jam.

 "Sebelum ini, saya hanya membeli kuih pisang yang masih panas dan menghabiskannya dalam waktu yang singkat tanpa membiarkannya dalam keadaan sejuk, oleh itu saya tidak menyedarinya," katanya.

 Jen amat berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga seperti itu yang hanya mengambil jalan mudah untuk memperolehi pendapatan dengan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap pelanggan.

 Bertindak atas aduan itu, Pengarah Jabatan Kebersihan dan Kesihatan Persekitaran(JKKP) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu(DBKK) Robert Lipon berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secepat mungkin peniaga terbabit.

 "DBKK akan melakukan siasatan secara terperinci kepada pemilik gerai dengan memeriksa lesen berniaga peniaga serta meninjau lokasi dan aktiviti perniagaan dan yang dijalankan oleh peniaga terbabit.

 "Jika didapati bersalah, pihak DBKK akan mengambil tindakan secara terus dengan memberhentikan serta membekukan perniagaan peniaga terbabit sementara waktu.

 "Bukan itu sahaja, peniaga juga akan didenda mengikut peruntukan undang-undang DBKK yang telah ditetapkan mengikut jenis kesalahan yang dilakukan oleh peniaga," katanya ketika ditemui kelmarin.

 Beliau berkata, maklumat itu amat diperlukan oleh pihak DBKK untuk membanteras aktiviti perniagaan yang melanggar undang-undang serta berguna dalam memastikan keadaan bandaraya sentiasa dalam keadaan yang seimbang dan terpelihara.

 Robert berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan diminta menghubungi DBKK secara terus agar tindakan lanjut dapat dijalankan segera dan bukannya menyebarkan maklumat terbabit di laman sosial.

No comments:

Post a Comment