Sunday 22 February 2015

Jatuh yang dasyat

Zaman sekolah aku telah bertahun lamanya berlalu. namun bila diimbau kembali kenangan bersama rakan-rakan sekolah amat mengujakan dan timbul sedikit rasa rindu untuk kembali ke sekolah semula.

Dalam antara banyak kenangan dan peristiwa yang berlaku, terdapat satu peristiwa yang tdak dapat aku lupakan dan masih kekal dalam ingatan. Biar aku ceritakan peristiwa tersebut kisahnya panjang tapi aku pendekkan hihihi.

Di sekolah rakan-rakan menggelar aku Wang, entah bagaimana dan bila gelaran itu tiba-tiba sahaja wujud aku pun tak tahu. Mungkin kerana aku yang jarang membawa wang ke sekolah, tapi bagaimana mereka tahu yang aku tidak membawa wang? Sedangkan aku tidak pernah memberitahu kepada sesiapa mengenai perkara tersebut. Ah! Abaikan bukan itu pun perkara utama dalam cerita ini.

Setiap hari aku ke sekolah dengan mengayuh basikal kesayangan aku, nama basikal itu Mikey sempena nama kereta dalam siri animasi jepun Doraemon yang pernah aku tonton. Seronok juga cerita tersebut kerana kereta tersebut boleh membawa Doraemon dan rakan-rakannya yang lain bersiar-siar di dalam laut. Hebatnya kereta itu siap boleh berkata-kata lagi. Banyak halangan serta rintangan yang mereka tempuhi. Ish.. Kenapa aku melalut ni, maaf ya tersengaja pula aku melalut.

Baiklah kita teruskan ya.. Boleh dikatakan Mikey ni punyalah setia dengan aku walaupun bukan basikal yang canggih tapi dialah yang sering menemani aku ke mana-mana sahaja yang aku teringin nak pergi. Paling penting Mikey ni berjasa besar kerana hari-hari hantar aku ke sekolah.

Pada suatu petang yang damai aku bersiar-siar keliling kampung seperti biasa bersama Mikey, tiba-tiba aku berasa sedikit kelainan yang belum pernah aku rasakan sebelum ini. Aku mendongak melihat ke arah sora yang kelihatan membiru namun awan dan matahari langsung tidak kelihatan.

"Mikey kau nampak tak apa yang aku tak nampak?" aku sering bercakap kepada Mikey seolah-olah kami boleh berkominikasi namun sudah tentu itu mustahil kerana Mikey tidak bernyawa.

Ish.. Aku betul-betul muskil dan kemudian aku kembali melihat alam di sekeliling, aku sangat terkejut dan hampir sahaja nak jatuh dari Mikey yang aku tunggang kebetulan tanpa memegang 'handel'. Lupa pula sora tu maksudnya langit dalam bahasa jepun, maaf tersasul taip pula tadi.

Aku berhenti dan melihat ke sekeliling aku tidak dapat mentafsir apa yang aku lihat dengan kata-kata, namun apa yang aku lihat betul-betul membuat aku berasa pelik, hairan, takut, suka, duka, sedih, dan macam-macam lagi. Ish.. Pokok pangkalnya perasaan aku ketika itu tidak dapat dikenal pasti kerana sungguh berkecamuk macam orang ada masalah gangguan kecelaruan emosi.

Aku tiba-tiba berasa badan aku seperti terapung-apung di udara, Mikey juga terlepas pergi daripada aku. walaupun aku cuba untuk mencapainya namun tidak kesampaian. Angin yang kuat bertiup membuatkan aku terpaksa memejamkan mata. Setelah aku rasa angin yang bertiup tidak lagi kencang aku pun membuka mata dan saat itu jugalah aku jatuh terhempas di atas sebuah bangunan.

Kesakitan yang aku rasa amat perit kemudian tanpa mampu berpaut aku terlunsur jatuh dari atap bangunan itu, apa yang aku sempat lihat adalah Mikey yang sedang jatuh bersama aku.

Aku harap apa yang terjadi hanyalah mimpi namun setelah aku membuka mata, aku melihat ke sekeliling dengan perlahan-lahan kerana badan aku seperti tidak mampu untuk digerakkan lagi. Pengelihatan aku pun kabur, aku cuba memanggil mikey namun suara aku pula tidak keluar. Dalam kesakitan yang melampau dan hanya berdua bersama Mikey, kami berdua terlantar tanpa mampu berbuat apa-apa. Aku kembali tidak sedarkan diri setelah aku terhidu bau wangian yang tiba-tiba datang tidak tahu dari mana, bau wangi tersebut cukup aneh aku belum pernah menghidu bau wangi seperti itu.

Aku berasa kesejukan yang amat sangat, badan aku seperti ditimpa titikan air yang lebat. Aku tahu yang sebenarnya aku telah ditimpa hujan. Aku membuka mata perlahan-lahan, kesakitan yang aku rasa sebelum ini telah pun berkurang. Dengan perlahan serta sedaya upaya aku cuba bergerak sikit demi sedikit hingga aku dapat duduk dan seterusnya berdiri.

Dalam keadaan derita menahan kesakitan sambil ditimpa hujan yang lebat, aku tidak tahu sama ada hari siang atau pun malam. Aku perhatikan yang aku seperti berada di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau tempat aku bersekolah, aku bergerak keluar dari kawasan sekolah kebetulan atau disengajakan aku pun tidak tahu kerana pagar sekolah tersebut terbuka luas. Aku khayal dalam perjalanan aku yang cuba untuk pulang ke rumah.

Sambil aku memimpin Mikey yang rodanya telah bengkok dan tidak dapat ditunggang. Memang saat itu aku tidak mampu untuk menunggang, sepanjang perjalanan hujan tidak berhenti dan aku menggigil kesejukan yang amat sangat. Akhirnya aku sampai ke rumah dan terus ke bilik mandi untuk membersihkan badan.

Aku tergelincir di dalam bilik mandi lalu tidak sedarkan diri lagi. Aku sedar pada keesokan harinya, ibu aku berkata yang dia terkejut melihat aku tidak sedarkan diri di bilik mandi. Sebenarnya bapa akulah yang mengangkat aku ke bilik tidur dan ibu bapa aku sebenarnya ingat aku hanya tertidur di dalam bilik mandi itu. Kesakitan yang aku rasai dan pengalaman yang aku tempuhi aku rahsiakan. Sebenarnya ibu bapa aku ada bertanya kenapa ada kesan bengkak dan luka pada bahagian badan aku, namun aku cuma membalas pertanyaan mereka dengan senyuman kerana jika aku ceritakan perkara yang sebenar pasti mereka tidak akan percaya dan aku juga tidak suka berbohong atau mengada-adakan cerita.

Keesokannya, hari minggu aku habiskan masa untuk berehat di rumah kerana seluruh tubuh badan aku masih terasa sakit. Namun Hari berikutnya aku perlu ke sekolah dan menjalani rutin harian, aku terpaksa menaiki bas untuk beberapa hari kerana Mikey belum sembuh. Kedua-dua rodanya rosak teruk, sebelum ke sekolah aku menghampiri Mikey.

"Maafkan aku Mikey kerana aku kau rosak teruk," aku menahan air mata yang memaksa untuk mengalir keluar sambil mengusap-usap badan Mikey kesayangan aku itu. Begitulah kisah atau mungkin boleh dikatakan sebagai fenomena ganjil dan misteri yang pernah aku lalui, sehingga hari ini aku tidak pernah menceritakan peristiwa tersebut kepada sesiapa pun.

Sekian terima kasih kerana sudi membaca.


No comments:

Post a Comment